Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Kelab Tahanan Palestin menegaskan bahawa pentadbiran penjara Israel telah meningkatkan kekerasan ke atas tahanan Palestin selepas mereka melaksanakan tindakan yang baru ke atas para tahanan tersebut.
Suruhanjaya itu menyatakan bahawa para tahanan Palestin yang berada di penjara Zionis telah menutup semua bahagian sel yang merupakan salah satu tindakan pemberontakan baru-baru ini yang dilaksanakan mereka terhadap keputusan yang dikemukakan oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir. Pemberontakan ini telah berlangsung selama 15 hari dan akan berterusan sehingga pelaksanaan mogok lapar diumumkan.
Antara tindakan tidak berperikemanusiaan yang diputuskan oleh Itamar Ben-Gvir terhadap tahanan Palestin ialah mencatu bekalan air yang digunakan, mengurangkan tempoh masa bagi membersihkan diri dan menyediakan roti yang kurang berkualiti. Mereka juga menggandakan bilangan serbuan dan operasi penggeledahan selain meluluskan undang-undang yang melucutkan rawatan terhadap tahanan yang menghidapi penyakit. Selain itu, undang-undang hukuman mati terhadap tahanan yang menjalankan operasi penentangan terhadap rejim Zionis turut dikenakan serta meningkatkan operasi kurungan persendirian.

