Rejim Israel menahan seramai 11 orang penduduk Palestin, lima daripada mereka merupakan sebuah keluarga. Penahanan berlaku selepas pencerobohan dan penggeledahan kediaman milik penduduk awam yang dilancarkan oleh rejim Israel di kawasan berbeza Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, rejim Israel telah menceroboh bandar al- ‘Uja, utara Ariha dan menyerang kediaman sebuah keluarga dan seterusnya menahan lima orang daripada mereka. Manakala di Ramallah pula melibatkan empat pemuda yang ditahan.
Di al-Khalil, rejim Israel mengepung sebuah kediaman penduduk Palestin dan menahan seorang daripada ahli kediaman berkenaan. Israel turut menahan dua orang pemuda Palestin dari al-Khalil sejurus sahaja kediaman mereka diserbu.
Sebagai rekod, setakat suku pertama tahun ini, Israel telah menahan kira-kira 1,600 orang penduduk Palestin. Ini menjadikan jumlah tahanan Palestin di penjara Israel sekarang hampir 5,000 orang.

