Home Berita Post View

Khader Adnan Syahid

May 02, 2023 12:52 pm

 

Seorang tahanan Palestin di penjara Israel yang berusia 44 tahun, Khader Adnan telah syahid setelah 86 hari menjalani mogok lapar. Difahamkan tindakan mogok lapar tersebut mewakili suaranya yang menolak penahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas dirinya oleh pihak pentadbiran penjara Israel.

Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth mendakwa bahawa Khader Adnan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam selnya. Namun selepas dipindahkan ke hospital, beliau dilaporkan telah syahid. Kesyahidan beliau menjadikan angka syuhada gerakan tahanan meningkat seramai 237 orang. 

Gerakan Jihad Islami meminta kerajaan haram Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang terjadi selepas permohonan pembebasan Khader Adnan  ditolak. Mogok lapar yang dilancarkan oleh Khader Adnan sehingga hujung nafasnya merupakan mogok lapar yang paling lama beliau lancarkan. Sebagai rekod, sebelum ini beliau pernah melakukan mogok lapar sebanyak lima kali.

Khader Adnan juga pernah ditahan sebanyak 12 kali dan meringkuk selama lapan tahun di pusat tahanan Israel kerana dikenakan penahanan pentadbiran. Beliau merupakan bapa kepada sembilan orang anak. 

Related